Lanskap berpandangan indah dan singkapan batuan unik dengan pelbagai nilai saintifik, estatik, warisan, sejarah dan budaya merupakan khazanah negara yang perlu dikenalpasti dan dipelihara. Kepelbagaian geologi ini merupakan sumber semulajadi yang boleh dibangunkan sebagai produk pelancongan utama dan dijadikan warisan untuk generasi masa kini dan akan datang.

Inisiatif pembangunan berkonsep geopark di bawah UNESCO telah terbukti dapat meningkatkan aktiviti pelancongan di suatu kawasan dan akan dapat menjana ekonomi kepada masyarakat setempat dan negara. Selaras dengan penubuhan Jawatankuasa Geopark Kebangsaan, JMG memainkan peranan aktif dalam membuat pemetaan geologi warisan dan pencirian geotapak untuk pewartaan dan dibangunkan sebagai geopark.